YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
PERUTUSAN YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT,
PARLIMEN MALAYSIA
Bismillahirahmanirrahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga Parlimen Belia Malaysia (PBMy) serta sidang redaksi di sebalik pembangunan portal rasmi ini.
Parlimen Belia bukan sekadar sebuah platform simulasi atau latihan teknikal semata-mata, ia adalah wadah kritikal yang membentuk DNA kepimpinan masa hadapan negara. Di bawah bumbung Parlimen Malaysia, kita sentiasa membuka ruang seluas-luasnya bagi memastikan suara anak muda bukan sekadar didengari, malah dibahas dan diperhitungkan. Saya amat percaya bahawa dinamisme pemikiran belia adalah nadi utama kepada kemajuan demokrasi kita.
Melalui portal ini, setiap input, usul, dan idea daripada perwakilan PBMy kini boleh diakses secara telus oleh seluruh masyarakat. Ini adalah langkah proaktif dalam memperkasakan literasi politik serta mematangkan budaya perdebatan yang berintegriti di kalangan generasi muda. Kita mahukan perdebatan yang berpaksikan fakta, bukannya retorika.
Ingatlah, anda bukan sekadar ‘pemimpin hari esok’, tetapi merupakan rakan strategik dalam membangunkan masa depan Malaysia hari ini. Teruskan berbakti dengan penuh integriti, berhujah dengan ilmu, dan sentiasa membaja semangat kecintaan kepada watan.
Ayuh, jadikan platform ini sebagai batu loncatan untuk membina Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.
Sekian, terima kasih.